zikrullah n doa

Rabu, 5 Disember 2012

KONGRES PENGUBATAN ISLAM NUSANTARA KALI PERTAMA


KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) dengan kerjasama Gabungan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia (APIUM) buat julung kalinya telah menganjurkan Kongres Pengubatan Islam Nusantara kali pertama  dengan tema “Kearah Memartabatkan dan Melestarikan Pengubatan Islam Sepanjang Hayat”.  Kongres terseebut telah di adakan di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1hb hingga 2hb Disember 2012 baru-baru ini.
 Ucap Utama “KE ARAH MEMARTABAT DAN MEMPERKASA PENGUBATAN ISLAM SEPANJANG HAYAT" oleh Yang Berbahagia, Tuan Guru Dato’ Haron Din, 
Pengasas dan Penasihat, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa')
Penyertaan dari Darusysyifa' Warrafahah turut di sertai oleh Tuan  
Hj Yakop BPSK DSS Hj Mohd Yusof, Timbalan Yang DiPertua DSR

Sebahagian dari peserta wanita DSR yang menyertai kongres
yang julung kalinya di adakan itu.
Darusysyifa’ Warrafahah telah di wakili oleh seramai 23 orang peserta ke kongres tersebut yang di ketuai oleh Awg Hj Sufri Hj Yudan selaku Pengurus. Dua kertas kerja dari Darusysyifa’ Warrafahah juga turut di bentangkan di kongres dua hari tersebut yangmana masing masing bertajuk “Darusysyifa’ Warrafahah : Kearah menguasai semula Pengubatan Islam di Brunei Darussalam” yang di bentangkan oleh Awang Hj Abd Rajak Hj Md Dali dan kertas kerja kedua berjudul “Menyelusuri Amalan Perubatan Tradisional di Brunei : Penggunaan Jantang dn Ambok Segubang” yang di sampaikan oleh Ustaz Ali Hasan Mohd Said.
"KEARAH MENGHARMONIKAN PENGUBATAN TRADISIONAL MELAYU
DAN PENGUBATAN ISLAM DI NUSANTARA" Oleh Yang Berbahagia,
Datuk Dr Nasuha bin Jamidin
Yang Berusaha, Dr.Abdullah Yusof
Pengarah Kongres Pengubatan Islam Nusantara Kali Pertama
 Yang Amat Berbahagia, Tun Abdullah  Haji Ahmad Badawi  
Mantan Perdana Menteri Malaysia,
Kongres tersebut telah di rasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berbahagia,Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi dan di hadiri oleh lebih dari 400 orang peserta yang terdiri dari para pengamal-pengamal pengubatan Islam dari seluruh pelusuk Nusantara termasuk dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah. Sebanyak 14 tajuk kertas kerja telah di bentangkan di kongres tersebut oleh wakil-wakil dari setiap Negara yang menyertai  dengan di mulai oleh Kertas Kerja Utama bertajuk “KE ARAH MEMARTABAT DAN MEMPERKASA PENGUBATAN ISLAM SEPANJANG HAYAT yang di sampaikan oleh Yang Berbahagia, Tuan Guru Dato’ Haron Din, Pengasas dan Penasihat, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia ( Darussyifa’ ).

Yang Mulia, Ustaz Arif Rahman Hakim dengan kertas kerja nya
"RUQYAH SYAR'IYYAH DI INDONESIA : SEJARAH AMALAN
DAN TANTANGAN"
Awg Hj Abd Rajak  Hj Md Dali menyampaikan kertas kerja yang bertajuk
"DARUSYSYIFA' WARRAFAHAH : KEARAH MENGUASAI SEMULA PENGUBATAN
 ISLAM DI BRUNEI DARUSSALAM"
AWG HJ ABD RAJAK KETIKA DI TEMUBUAL OLEH PIHAK
KREW TV9
Ustaz Sharhan Shafie menyampaikan kertas kerja beliau yang bertajuk
"RAWATAN ISLAM KEATAS PENYAKIT ROHANI DAN FIZIKAL TAHAP KRONIK:
KENAPA MASIH TAK SEMBUH?"
Kongres yang julung kalinya di adakan ini di hasratkan untuk menyatukan para pengamal pengubatan Islam bukan sahaja di Malaysia akan tetapi dari seluruh rumpun Melayu yang lain di Nusantara ini dalam satu jaringan. Ianya juga di harapkan akan dapat di jadikan sebagai satu platform kepada para pengamal pengubatan Islam, pengkaji, penyelidik, pelajar serta masyarakat awam terhadap pemahaman dan keperluan kepada pengubatan yang berteraskan ajaran/syariat Islam dalam erti kata yang sebenar.           
"PENGHASILAN PRODUK UBATAN DAN MAKANAN KESIHATAN
BERSUMBERKAN HERBA : SOROTAN PENGALAMAN PENGUSAHA"
Oleh : Dr.Nurmawati Syakroni
Ustaz Ali Hassan Mohd Said membentangkan kertas kerja bertajuk"MENYELUSURI AMALAN PERUBATAN TRADISIONAL DI BRUNEI : PENGGUNAAN JANTANG DAN AMBOK SAGUBANG"

RESOLUSI KONGRES
 
Kongres Pengubatan Islam Nusantara 2012 yang bertemakan Ke Arah Memartabatkan dan Melestarikan Pengubatan Islam Sepanjang Hayat di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1 dan 2 Disember 2012 anjuran bersama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa’, Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berdasarkan kertas kerja-kertas kerja yang dibentangkan telah bersetuju untuk mengeluarkan resolusi-resolusi berikut:-
 
1. Ruqyah Syar’iyyah daripada Al-Quran dan As-Sunnah memiliki kehebatan tersendiri yang tiada tandingan dari segi keberkesanannya dengan syarat perawat memiliki keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah serta memiliki keilmuan dengan ilmu rawatan Islam dengan sumber ambilan yang sah dan tahu membezakan antara yang hak dan yang batil.
 
2. Setiap pengamal pengubatan Islam hendaklah memiliki akidah yang betul, keikhlasan yang jitu, berakhlak mulia, memahami keadaan pesakit, beretika apabila merawat pesakit berlainan gender, pengurusan masa yang berkualiti, pemeriksaan dengan cara berhemah dan memiliki sifat mahmudah seperti kesabaran, keyakinan doa dimakbulkan, tawadu’ dan kasihan belas kepada pesakit.
 
3. Setiap pengamal pengubatan Islam hendaklah beriktikad bahawa kesembuhan datang daripada Allah dan bukannya daripada kemampuan pengamal. Tugas pengamal hanyalah berdoa dan memotivasi pesakit sebagai satu kaedah usaha dan ikhtiar.
 
4. Pengamal pengubatan Islam hendaklah memastikan bahawa amalan pengubatan Islam yang dipraktikkannya bebas daripada unsur-unsur batil yang biasa diamalkan dalam perbomohan yang terpesong daripada Syariat Islam seperti penggunaan ‘khidmat syaitan’, tangkal azimat, jampi serapah yang tidak Syar’ie, dakwaan mengetahui perkara ghaib, menilik, meramal penyakit, penggunaan bahan yang jelas haram  seperti darah, hempedu, daging binatang yang diharamkan dan rajah-rajah pelindung sihir.
 
5. Penggunaan ubat-ubatan hospital dan pembedahan adalah termasuk dalam pengubatan Islam berdasarkan isyarat hadith Nabi SAW yang menggesa berubat dengan menggunakan madu dan berbekam.
 
6. Pihak berkuasa perlu segera menyekat amalan-amalan dalam pengubatan Islam yang didapati bercanggah dengan Syariat dengan mengadakan peruntukan undang-undang yang jelas dan hukuman yang setimpal bagi kesalahan tersebut.
 
7. Pihak media perlu memaparkan pengetahuan tentang pengubatan Islam yang sebenar bagi memperbetulkan tanggapan salah selama ini terhadap rawatan Islam sehingga menganggap sesiapa sahaja yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran adalah perawat Islam tanpa menyedari ilmu sihir juga ada yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dengan kaedah yang salah.
 
8. Pengamal pengubatan Islam hendaklah menunjukkan contoh terbaik dalam amalan mereka dengan mementingkan keikhlasan dalam membantu pesakit, mengutamakan keredhaan Allah dan mencari pahala daripada Allah tanpa meletakkan imbuhan duniawi sebagai matlamat utama dalam pengubatan.
 
9. Pembedahan batin yang dilakukan tanpa menggunakan peralatan bedah yang sewajarnya dan tidak dilakukan dalam bilik bedah walaupun kelihatan darah mengalir keluar daripada tubuh pesakit yang dibedah dan kadang-kadang ada objek-objek yang tertentu dikeluarkan daripada tubuh pesakit kesemuanya itu adalah merupakan satu kaedah sihir khayalan yang menggunakan khidmat jin dan syaitan. Pada hakikatnya pembedahan batin yang kelihatan berlaku secara misteri itu tidak berlaku sama sekali. Hanya pandangan orang yang menyaksikannya sahaja yang terkhayal seolah-olah pembedahan itu wujud dan berlaku.
 
10. Perawat yang mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti mengetahui dalam badan pesakit ada sejumlah jin dan kemudian menilik ayat-ayat Al-Quran yang kononnya adalah ubat yang sesuai untuk pesakit berdasarkan pencarian secara tilikan maka termasuk dalam kaedah menggunakan khadam ghaib iaitu jin dan syaitan.
 
11. Kaedah mengalinkan bahan tertentu di atas tubuh pesakit seperti mengalinkan telur di tempat yang sakit kemudian apabila telur itu dipecahkan didapati berbagai objek di dalam telur itu seperti jarum dan rambut atau isi telur itu berubah warna kepada kehitaman atau kemerahan maka ia termasuk kaedah sihir dan pengamalnya dipanggil sebagai Kahin (merawat dengan menggunakan khidmat jin dan syaitan).
 
12.  Perkara luarbiasa yang menakjubkan dalam rawatan yang berlaku secara berulang-ulang dan boleh diprogramkan daripada awal oleh perawat malah dia pula berbangga kerana perkara luarbiasa itu dianggap sebagai keistimewaan kepadanya maka ia bukannya Karamah atau Maunah tetapi adalah Istidraj atau Sihir. Karamah seseorang perawat dalam bidang pengubatan adalah kurniaan daripada Allah dan ianya berlaku secara mendadak serta tidak boleh diprogramkan (tidak tahu bila akan berlaku dan bagaimana akan berlaku).
 
13. Kaedah merawat pesakit mangsa sihir dengan menggunakan amalan sihir atau dipanggil dengan istilah An-Nushrah adalah haram hukumnya disisi Jumhur Ulama’. Justeru rawatan terhadap pesakit dengan menggunakan kaedah yang salah hendaklah dihentikan serta-merta. Pengamal pengubatan Islam hendaklah berlapang dada dan menerima pandangan yang betul demi memurnikan pengubatan Islam.
 
14. Ilmu kebal, ilmu boleh makan kaca, ilmu boleh menghilang ghaib, ilmu boleh terbang, ilmu boleh melihat walaupun mata tertutup, ilmu boleh menilik masa depan seseorang, ilmu boleh menuntut hutang dengan cara yang halus dan ilmu boleh berubah menjadi makhluk yang lain adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.
 
15. Pengamal pengubatan Islam hendaklah memperkasakan ilmu ini dengan merujuk kepada kitab-kitab pengubatan Islam yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama yang muktabar, menterjemah kitab-kitab tersebut kepada bahasa Melayu, melakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) terutamanya bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, menulis buku ilmiah tentang pengubatan Islam dan berdakwah kepada masyarakat melalui pengubatan Islam.
 
16. Penagih dadah boleh dirawat melalui pengubatan Islam dengan menggunakan kaedah Takholli (menghilangkan keserabutan di fikiran penagih), kaedah Tahalli (pengisian dengan aktiviti menyihatkan seperti riadah, makanan dan minuman yang halal, solat fardhu dan sunat, pengajian ilmu fardhu ain, membaca Al-Quran, berzikir, beristighfar dan bersolawat serta qiyamullail) dan kaedah Tajalli (mengekalkan ketenangan fikiran dan rasa kebesaran Allah dalam jiwa bekas penagih).
 
17. Islam tidak memisahkan herba daripada ilmu pengubatan Islam sekiranya herba tersebut terbukti memiliki khasiat yang boleh memberi manfaat kepada manusia samada melalui pembuktian saintifik atau pengalaman turun-temurun sebelum ini dengan syarat ianya halal dan selamat digunakan serta beriktikad bahawa Allah yang menyembuhkannya.
18. Mengharmonikan pengubatan tradisional Melayu dan pengubatan Islam supaya ia menjadi warisan budaya bangsa yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
 
19. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan hendaklah membuka ruang seluas-luasnya kepada Pengubatan Islam untuk mengadakan program Rawatan Islam di universiti dan kolej dan menyediakan pengubatan Islam di semua hospital kerajaan dan swasta kepada pesakit beragama Islam.
 
20. Perlunya ada sebuah badan yang mengawal disiplin dan etika perawat untuk meningkatkan mutu pengubatan Islam.
 
21. Seluruh persatuan pengubatan Islam di Malaysia hendaklah bernaung di bawah GAPPIMA untuk memartabatkan dan melestarikan pengubatan Islam sepanjang hayat.
 
22. Penghargaan kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan yang telah mengiktiraf pengubatan Islam dengan wujudnya Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari yang telah memasukkan rawatan Islam sebahagian daripadanya pada tahun 2012.
 
Resolusi ini disediakan Oleh: Mohd Fauzi Mustaffa, Presiden GAPPIMA pada 2-Disember-2012 [ Di petik dari www.darussyifa.org ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan